DUNIA
GAMBAR di laman YouTube menunjukkan
serpihan kayu yang ditemui oleh satu kumpulan ekspedisi China-Turki di
dalam lereng Gunung Ararat, Turki.
WASHINGTON - Seorang anggota ekspedisi China-Turki mempertahankan
dakwaan mengenai penemuan serpihan bahtera Nabi Nuh di celah lereng
Gunung Ararat setinggi 4,000 meter di Turki, lapor sebuah akhbar
kelmarin.
Sebelum ini terdapat pelbagai pihak yang meragui penemuan kumpulan
itu selepas pendedahannya dibuat pada satu sidang akhbar pada minggu
lalu di Hong Kong sehingga seorang saintis Britain mahu bukti lebih
kukuh dikemukakan.
"Bagaimanakah sebuah kapal boleh berada di atas gunung," kata
seorang anggota ekspedisi itu yang memasuki Gunung Ararat pada Oktober
lalu, Yeung Wing-cheung.
Menurut seorang penyelaras ekspedisi itu, Clara Wei, satu-satunya
rekod struktur kayu yang ditemui di gunung itu ialah daripada bahtera
Nabi Nuh.
"Sehingga kini, saya percaya ini ialah satu penjelasan yang paling
munasabah. Kami tidak mempunyai penjelasan lain. Kami tidak mempunyai
sebarang perkara untuk disembunyikan," tambahnya.
Menurut Wei: "Anda boleh menyewa beberapa ekor kuda untuk membawa
beg tetapi anda tidak boleh mengimbangi kuda tersebut dengan kayu
sepanjang 20 meter ( yang ditemui di dalam lereng gunung itu)."
Dia berkata, tidak ada tembikar dan bukti kebudayaan lain ditemui di gunung tersebut.
Pada Isnin lepas, kumpulan ekspedisi tersebut mengumumkan penemuan
struktur dan serpihan kayu bahtera Nabi Nuh di dalam lereng Gunung
Ararat, Turki dengan menyatakan ujian karbon menunjukkan barang yang
ditemui itu berusia 4,800 tahun iaitu tarikh sama kejadian banjir besar
berlaku.
Beberapa pihak meragui penemuan itu kerana pasuakan ekspedisi itu tidak mendedahkan lokasi sebenar tempat penemuan berkenaan.
Namun, kumpulan ekspedisi itu menyatakan lokasi sebenar tempat
penemuan tersebut akan didedahkan selepas pemerintah Turki bersetuju
menjadikan tempat penemuan sebagai kawasan arkeologi.
Pada Jumaat lalu, agensi berita
AFP menyatakan, Menteri
Kebudayaan dan Pelancongan Turki, Ertugrul Gunay mengarahkan siasatan
dilakukan bagi mengetahui bagaimana serpihan kayu yang didakwa daripada
bahtera Nabi Nuh berjaya dibawa keluar dari negara itu ke China. -
Agensi
Sumber:berita dipetik dari kosmo online