bayi paling berat di Indonesia
BAYI paling berat di Indonesia (kanan) menangis di sebelah bayi normal di sebuah hospital di Medan, Sumatera Utara semalam.
JAKARTA - Seorang wanita Indonesia melahirkan bayi lelaki seberat 8.7 kilogram (kg) iaitu yang terberat pernah dicatatkan di negara itu, kata seorang doktor semalam.
Bayi yang masih belum diberi nama itu mempunyai ketinggian 62 sentimeter dan dilahirkan menerusi pembedahan Caesarean kelmarin di sebuah hospital awam di wilayah Sumatera Utara.
"Pembedahan itu sukar kerana bayi itu amat berat terutama ketika proses untuk membawanya keluar dari rahim ibu.
"Kakinya amat besar," kata Dr. Binsar Sitanggang yang mengambil bahagian dalam pembedahan itu.
Bayi itu berada dalam keadaan sihat walaupun pada mulanya diberikan oksigen bagi mengatasi masalah pernafasannya, tambahnya.
"Dia (bayi itu) mempunyai selera makan yang besar. "Pada setiap minit dia hampir tidak berhenti untuk minum susu.
"Bayi ini amat luar biasa. Cara dia menangis tidak seperti bayi normal. Ia amat kuat," kata Dr. Binsar.
Menurutnya, berat badan luar biasa itu mungkin disebabkan oleh ibunya, Ani yang berumur 41 tahun mempunyai penyakit diabetes. - AFP
Kucing 9.98kg
SEORANG jururawat haiwan memegang Socrates yang seberat 9.98 kilogram
NORTH SHEILDS, England - Seekor kucing yang diberi nama Socrates oleh pemiliknya, Bill Duncan menjalani diet bagi mengurangkan berat badannya yang seberat 9.98 kilogram (kg), lapor sebuah akhbar semalam.Berat badan itu menyebabkan kucing itu tidak dapat bergerak kemungkinan kerana kegemarannya makan keju dan kerepek.Namun, kini kucing yang berusia lima tahun itu dipilih untuk menjadi salah seekor finalis dalam pertandingan diet Kelab Sihat Haiwan anjuran sebuah agensi perlindungan haiwan.Cuma tinggal 100 hari lagi untuk mencapai sasaran berat badan 4.5 kilogram, ia mendapat diet makanan yang merupakan separuh daripada yang dimakannya sebelum ini."Disebabkan oleh bulunya yang panjang, saya tidak mengetahui berat badannya," kata pemiliknya di sini."Apabila saya memberinya makan, kucing itu kini merungut dan melihat ke arah saya seperti bertanya di manakah baki makanan yang lain," tambahnya.- Agensi
Makhluk asing tinggal di kalangan manusia?
GAMBAR menunjukkan makhluk asing yang masih hidup pada Mei 1997 di sebuah ladang di Metepec, Mexico.
|
METEPEC, Mexico - Adakah terdapat abang bayi makhluk asing yang ditemui di Mexico tinggal di kalangan manusia?
Sebelum ini, seorang petani menemui bayi makhluk asing itu yang kelihatan seperti cicak, berekor, bergigi dan mempunyai kepala pada 1997 sebelum membunuhnya.
Bangkai bayi makhluk asing tersebut kemudian dikaji oleh saintis-saintis selama dua tahun dan semua ujian untuk menghasilkan asid deoksiribonukleik (DNA) haiwan ganjil itu menemui kegagalan.
Makhluk itu mempunyai ciri-ciri haiwan reptilia seperti giginya.
Namun, makhluk itu turut mempunyai ciri-ciri manusia seperti sendi dan telinga.
Seorang wartawan sebuah akhbar, Michael Remke pergi ke Metepec untuk melihat bangkai bayi makhluk itu.
"Matanya menyeramkan," katanya.
Namun, seorang pekerja, Francisco Garcia menyatakan dia melihat satu lagi makhluk seperti itu.
"Saya melihat makhluk asing kedua yang masih hidup. Ia seorang jantan setinggi kira-kira 70 sentimeter. Saya melihatnya menyusup keluar dari sebuah pintu ladang dan kemudian melarikan diri," katanya.
Adakah makhluk itu menyembunyikan diri di kawasan itu atau sudah pergi ke bandar raya Mexico yang sejauh 65 kilometer dari sini? - Agensi
Tinggal dalam terowong di Las Vegas
STEVEN dan Kathryn tinggal dalam terowong bawah tanah di Las Vegas.
LAS VEGAS - Satu pasangan kekasih, Steven dan Kathryn tinggal dalam terowong banjir yang kotor di bawah tanah bandar raya Las Vegas di Amerika Syarikat (AS), lapor sebuah akhbar semalam.
Steven dan Kathryn tidak bekerja tetapi mereka merayau-rayau di kasino yang banyak terdapat di Las Vegas dengan harapan akan menemui wang yang ditinggalkan oleh penjudi mabuk di mesin-mesin perjudian.
Walaupun berdepan dengan risiko penyakit, ancaman labah-labah dan banjir, kebanyakan penghuni terowong itu mempunyai perabot dan pelbagai perhiasan lain.
Steven berpindah ke terowong itu dua tahun lalu selepas dia kehilangan kerja sebagai kakitangan sebuah hotel kerana masalah heroin.
"Kami pernah menemui wang sebanyak AS$997 (RM3,455) di dalam satu mesin perjudian. Saya turut menemui wang berjumlah AS$500 (RM1,733) beberapa kali," kata Steven.
Satu lagi pasangan, Amy dan JR tinggal di terowong itu dengan harapan untuk mencari pekerjaan di Las Vegas.
"Saya mempunyai sejumlah buku, pemain cakera padat dan pakaian serta gambar anak saya yang telah meninggal dunia 11 tahun lalu," kata Amy.
Menurutnya, walaupun berdepan dengan ancaman labah-labah dan banjir, terowong itu merupakan tempat terbaik untuk dijadikan tempat tinggal untuk golongan tidak berumah.- Agensi
Anak panah tertusuk pada tubuh budak
GAMBAR menunjukkan tubuh belakang Tian ditusuk anak panah.
BEIJING - Seorang budak yang berumur dua tahun semakin pulih selepas tubuh belakangnya terkena sebilah anak panah akibat perbuatan jirannya, lapor sebuah akhbar semalam.
Budak itu, Tian Tian sedang bermain di perkarangan rumah keluarganya di China apabila dia terkena anak panah di bahagian belakang badannya di Nanyang.
Menurut neneknya, Yi Tsou: "Dia menjerit dan saya kemudian melihat anak panah itu tertusuk di belakang tubuhnya. Saya hampir pengsan."
Anggota-anggota perubatannya kemudian menarik anak panah itu dan mereka kini menunggu sama ada ia menyebabkan kerosakan pada tulang belakangnya.
Menurut polis, jiran keluarga Tian itu berdepan dengan hukuman tujuh tahun penjara kerana mencederakan seorang budak.
- Agensi
Nota:berita pelik-pelik ini dipetik dari berita kosmo!
0 comments:
Post a Comment